Pages

Latihan-latihan Bola Jaring

Latihan menghantar bola

1). Hantaran dada
  • Buat tempat sasaran pada tembok. Berdiri dalam jarak tiga meter dari tempat sasaran. Lakukan 10 kali hantaran bola secara hantaran paras dada. Setiap hantaran yang tepat mengenai sasaran, kamu dianggap memperoleh dua mata. Pastikan kamu memperolehi 20 mata selepas membuat sepuluh hantaran.
  • Berdiri pada jarak tiga meter menghadap rakan kamu. Lakukan hantaran bola secara hantaran dada berganti-ganti selama 30 saat. Catatkan bilangan hantaran yang kamu buat dalam jangka masa tersebut.
  • Latihan-latihan di atas boleh diulang menggunakan hantaran bahu, hantaran lantun dan hantaran sisi.

2). Lob
  • Berdiri pada jarak lima meter dari rakan kamu. Minta seorang lagi rakan kamu berdiri di tengah-tengah jarak tersebut. Buat hantaran lob melepasi kepala rakan kamu yang berada di tengah. Ulang hantaran sebanyak 20 kali secara bertukar ganti.
  • Kamu dan rakan-rakan kamu berkedudukan seperti di atas. Semasa hendak melakukan hantaran, pemain yang berada di tengah-tengah mendepakan tangan seolah-olah hendak menghalang hantaran. Bola yang dihantar hendaklah melepasi halangan dan dapat disambut oleh rakan kamu.

Latihan menghantar dan menerima bola secara bergerak.
Dalam bola jaring, pemain-pemain sentiasa bergerak untuk mendapatkan bola atau melepaskan diri. Oleh itu latihan membuat hantaran dan menerima bola secara bergerak adalah penting.

  • Bentuk satu bulatan dengan lima atau enam pemain. Setiap pemain mesti memandang ke luar bulatan kecuali pemain A. A memandang ke dalam bulatan dan memulakan hantaran bola kepada pemain lain. A memanggil nama rakannya dan pemain itu perlu berpusing dan menerima bola yang dihantar oleh A. Pemain ini kemudian akan melakukan penghantaran seperti pemain A tadi.

  • Mulakan dengan jarak dua meter antara tiga pemain dan gunakan dua biji bola. Bentuk segitiga. Pemain B dan C perlu menghantar bola berganti-ganti kepada A. Mula-mula B menghantar bola kepada A dan kembalikan semula kepada B. Selepas itu C pula menghantar bola kepada A. Lakukan dengan pantas. Tambahkan jarak dan kelajuan hantaran bola.

  • Buat satu barisan dengan empat atau lima pemain. Seorang pemain akan memulakan hantaran bola. A menghantar kepada B dan B lari ke hadapan sedikit untuk menangkap bola. Apabila B dapat menangkap bola, hantar semula bola kepada A secepat mungkin. Kemudian B perlu lari ke belakang barisan. Pastikan pemain A tidak diberikan peluang berehat!

  • Buat satu barisan dengan empat atau lima pemain. Pemain A akan memulakan hantaran bola kepada B. Sebelum B menangkap bola acah ke kiri dahulu dan tangkap bola di sebelah kanan (Arah ini boleh berubah mengikut kehendak pemain). Kemudian B perlu melantunkan bola dan ditangkap oleh D. D perlu menghantar bola tinggi kepada A semula. Sementara itu B berlari ke belakang garisan. Ulang dengan arah yang berbeza-beza dan pastikan semua pemain dapat menggantikan tempat A.

Latihan berhalangan
  • Tandakan kawasan seluas gol hoki pada dinding. Arahkan rakan kamu berdiri pada jarak lima meter dari kamu. Rakan kamu akan melemparkan bola ke dalam kawasan yang ditandakan. Kamu perlu menangkap bola yang dilempar sebelum menyentuh dinding. Aktiviti ini juga boleh dilakukan dengan dua orang penyerang membuat lontaran ke kawasan bertanda.
  • Berdiri tiga orang dalam satu baris. Pemain di tengah akan menggolekkan bola ke hadapan, manakala dua orang pemain di sisi cuba menangkap bola itu.
  • Berdiri tiga orang lagi dalam satu baris. Pemain di tengah akan melantunkan bola ke dinding. Dua orang pemain di sisi akan cuba menangkap bola yang melantun. Latihan ini juga boleh dilakukan dengan menghantar balik bola yang direbut kepada pemain yang menghantar bola. Pemain yang tidak berjaya merebut bola perlu menghalang hantaran balik yang dibuat.
  • Seorang pemain akan berada di dalam kawasan gol, seorang berdiri di kawasan gol dan seorang lagi berada di luar kawasan gol. Pemain yang berada di atas garisan gol akan cuba menghalang hantaran yang dibuat. Pemain yang berada di luar kawasan gol perlu mencari ruang supaya hantaran senang dibuat manakala pemain yang membuat halangan perlu menghadap pemain di dalam kawasan gol supaya dapat melihat ke arah hantaran bola.

Menjaring
  • Buat sepuluh kali aktiviti menjaring dari pelbagai kedudukan di sekitar kawasan garisan gol. Catatkan jumlah jaringan gol yang kamu buat dalam sepuluh percubaan.
  • Lakukan aktiviti menjaring dalam masa 30 saat. Pilih kedudukan yang berlainan di sekitar kawasan gol. Catatan jumlah jaringan kamu buat dalam masa 30 saat.
  • Buat aktiviti secara berpasangan. Pemain A menghantar bola kepada pemain B. Pemain B menangkap bola yang dihantar dan terus menjaring bola itu.
Tingkatkan latihan ini dengan meletakkan seorang pemain untuk menghalang jaringan yang akan dibuat.