Pages

Undang-undang Penalti

Pemberian Penalti
Penalti akan dikenakan kepada pemain yang melanggar undang-undang. Terdapat beberapa jenis penalti:

  • Hantaran Percuma
  • Hantaran Penalti
  • Hantaran Penalti atau Jaringan Penalti
  • Hantaran Ke Dalam
  • Lambungan

1. Hantaran Percuma
Jika pemain melakukan kesalahan minor (kecil), pihak lawan akan diberi Hantaran Percuma. Antara kesalahan yang mengakibatkan Hantaran Percuma ialah:


a) Memegang bola
Selepas menerima bola, pemain hanya dibenarkan memegang bola selama tiga saat. Sekiranya bola dipegang melebihi tiga saat, pengadil akan meniup wisel. Ini menandakan pemain telah melanggar peraturan memegang bola.




b) Gerak kaki
Selepas menangkap bola, pemain hanya dibenarkan membuat satu langkah. Jika pemain menerima bola dengan kaki kanan di atas tanah, pemain boleh melangkah dengan kaki kiri. Jika kedua-dua belah kaki berada di atas tanah semasa menangkap bola, pemain hanya boleh membuat satu langkah dari mana-mana kaki.

c) Memainkan bola
Pemain yang memegang bola boleh melantun bola kepada orang lain tetapi tidak boleh mengambilnya semula. Bola tidak boleh digelecek seperti bola keranjang. Bola yang telah dipegang dan terlepas daripada pegangan tidak boleh diambil semula oleh pemain tersebut, sebelum bola disentuh pemain lain.

d) Melebihi kawasan
Hantaran bola yang melebihi dari satu kawasan, tanpa disentuh oleh mana-mana pemain, ini menjadi satu kesalahan. Pengadil akan meniup wisel dan menyatakan kesalahan melebihi kawasan.



e) Masuk kawasan
Setiap pemain hanya boleh bergerak dalam kawasan tertentu sahaja. Pemain tidak dibenarkan melampaui kawasan yang telah ditetapkan sama ada dengan bola atau tanpa bola. Pelanggaran peraturan ini menjadikan pemain sudah masuk kawasan.

2) Hantaran Penalti
Hantaran Penalti akan diberikan kepada pihak lawan sekiranya pemain melakukan kesalahan-kesalahan major seperti sentuhan, halangan dan gangguan kepada pemain lawan. Pemain yang melakukan kesalahan didenda berdiri di tepi. Pemain tersebut boleh bermain semula selepas bola dihantar untuk dimainkan semula.

Kesalahan-kesalahan lain yang boleh diberikan penalti:

a) Sentuhan
Pemain dilarang sama sekali menyentuh pemain lawan. Hantaran Penalti akan diberi kepada pihak lawan walaupun sentuhan secara tidak sengaja.

b) Halangan
Pemain tidak dibenarkan menghalang pemain lawan membuat hantaran atau menerima bola. Jika seorang pemain lawan memegang bola, pemain hanya dibenarkan berdiri dalam jarak 0.9 meter di hadapannya. Pada jarak ini, pemain boleh mendepakan tangan tanpa menyentuh bola yang dipegang oleh pihak lawan.


 


Hantaran Penalti atau Jaringan Penalti
Jika pasukan yang bertahan melakukan kesalahan Halangan atau Sentuhan dalam Bulatan Gol, pasukan penyerang akan diberi Hantaran Penalti atau Jaringan Penalti tanpa halangan.




Lambungan
Lambungan akan dilakukan oleh pengadil dalam keadaan-keadaan seperti berikut:
  • Dua orang pemain dari kedua-dua pasukan menerima bola serentak atau keluar kawasan serentak atau sentuhan serentak.
  • Dua orang pemain dari kedua-dua pasukan menolak bola serentak keluar gelanggang.
  • Selepas kejadian yang tidak diduga dan pengadil tidak dapat menentukan pemain yang memegang bola atau di mana bola berada semasa permainan diberhentikan.
Apabila keadaan ini berlaku permainan akan dihentikan. Dua orang pemain yang terlibat akan berdiri dalam jarak 0.9 meter antara satu sama lain. Kedua-dua pemain akan menghadap kawasan gol masing-masing dan kedua-dua belah tangan berada di sisi tubuh.


Pengadil akan berdiri antara kedua-dua pemain. Apabila wisel dibunyikan bola akan dilambung ke atas dan kedua-dua pemain boleh melonjak untuk menangkap atau menepis bola ke arah rakannya.