Kemahiran Bola Jaring

Menghantar Bola
Permainan bola jaring memerlukan kamu menghantar bola kepada pemain-pemain lain. Pasukan yang baik akan bermain dengan pantas melalui hantaran yang tepat. Antara panduan untuk membuat hantaran yang baik ialah :
  1. Jangan panik ketika membuat hantaran. Kamu mempunyai tiga saat untuk mencari arah hantaran. Pilih jenis hantaran yang tepat. Hantaran secara tergesa-gesa mungkin menyebabkan pasukan kamu kehilangan bola. Kadangkala kesilapan kamu membuat hantaran akan menyebabkan pihak lawan menjaringkan gol.
  2. Buat hantaran di hadapan rakan yang bergerak.
  3. Mata hendaklah sentiasa mencari sasaran hantaran.
  4. Gerak selangkah ke arah sasaran. Kemahiran ini membuatkan hantaran kamu laju dan kuat. Beberapa jenis hantaran di dalam permainan bola jaring ialah:
  • hantaran dada
  • hantaran bahu
  • hantaran lantun
  • lob
  • hantaran sisi
1) Hantaran Dada
Hantaran dada dilakukan dengan kedua-dua belah tangan. Bola akan bergerak dengan secara mendatar dan terus ke dada kawan kamu. Buka jari-jari tangan dan bengkokkan siku sambil membawa bola ke dada. Ambil satu langkah lajak ke arah sasaran. Tolak bola ke hadapan dengan meluruskan siku dan pergerakan tangan.

2) Hantaran Bahu
Hantaran bahu biasanya digunakan oleh pemain bola keranjang. Pegang bola pada ketinggian bahu manakala sebelah tangan lagi menyokong bahagian hadapan bola. Berdiri secara sisi ke arah sasaran. Sebaik sahaja kamu melangkah ke hadapan, tolak bola ke arah sasaran. Tingkatkan kemahiran hantaran ini dengan menggunakan tangan kanan dan kiri.

3) Hantaran Lantun
Hantaran lantun merupakan hantaran yang mengelirukan. Ia merupakan tindakan untuk menghantar bola apabila pihak lawan terlalu dekat dengan kamu. Arahkan hantaran bola rendah ke tanah. Bola akan melantun ke tanah dan rakan kamu boleh menangkapnya dengan selamat.

4) Lob
Lob ialah hantaran bola yang melepasi kepala pihak lawan tetapi jatuh di tangan pasukan kamu. Kamu boleh membuat hantaran lob menggunakan sebelah atau kedua-dua belah tangan. Pastikan hantaran itu mengatasi jangkauan tangan pemain lawan.

5) Hantaran Sisi
Pegang bola dengan kedua-dua belah tangan. Hayun kedua-dua belah tangan yang memegang bola melintasi badan kamu.


Gerak Kaki
Kadangkala pemain menerima bola dengan mendarat sebelah kaki atau melompat untuk menerima bola dan mendarat dengan sebelah kaki. Dalam keadaan sedemikian pemain boleh melakukan salah satu dari dua perkara berikut:

  • Melangkah ke seberang arah dan putar kaki yang mendarat. Kaki yang diputar boleh diangkat, tetapi hendaklah menghantar atau menjaring sebelum kaki itu dijejakkan semula.
  • Ambil langkah dan angkat kaki yang mendarat. Buat hantaran atau jaringan sebelum kaki itu dijejakkan semula. 
Jika menerima bola ketika kedua-dua belah kaki berada di tanah atau menerima bola dengan kedua-dua belah kaki berada di udara, kamu mempunyai beberapa pilihan:
  • Melangkah dengan sebelah kaki ke sebarang arah. Kemudian boleh mengangkat kaki yang dibelakang tetapi pastikan bola dihantar atau dijaringkan sebelum kaki yang dibelakang dijejakkan semula.
  • Pemain boleh melangkah dengan sebelah kaki ke sebarang arah dan memutar kaki belakang. Pemain juga boleh mengangkat kaki yang diputar. Sungguhpun begitu, pemain mesti menghantar atau menjaring sebelum kaki yang diputar dijejakkan semula.

Menjaring gol
Pasukan yang paling banyak menjaring gol dianggap pemenang perlawanan. Ini bermakna pemain-pemain yang berperanan sebagai Penjaring Gol (GS) dan Penyerang Gol (GA) perlu berkemampuan menjaringkan gol. Hanya kedua-dua pemain ini sahaja yang boleh menjaringkan dalam Bulatan Gol. 
  • Berdiri dengan kaki dijarakkan seluas bahu. Hadapkan bahu dan kepala ke tiang gol.
  • Letakkan bola di atas tangan menjaring dan naikkan tangan sehingga lurus. Bola dipegang oleh jari dan bukannya tapak tangan.
  • Gunakan tangan yang sebelah lagi untuk menyokong bola.
  • Untuk memulakan jaringan, buat lonjakan dengan membengkokkan lutut dan siku sedikit.
  • Luruskan kaki dan tolak tangan ke atas dan lepaskan bola pada paras melebihi ketinggian kepala.
  • Tolak pergelangan tangan dengan cepat ke hadapan semasa melepaskan bola. 
Menerima Bola
Semasa menerima bola pastikan kamu mematuhi beberapa perkara. Mata kamu perlulah sentiasa memandang bola. Pegang bola dengan kemas. Sebaik-baik bola dapat ditangkap, fikirkan dengan tenang ke mana kamu hendak membuat hantaran.
Kamu  boleh menerima bola dengan baik jika berada pada tempat dan ketika yang tepat. Kadangkala kamu dikawal dengan rapi oleh pihak lawan. Dalam keadaan yang sedemikian kamu perlu bergerak dengan pantas mencari ruang kosong. Langkah ini mengelakkan pihak lawan merebut bola yang hendak kamu terima.

Kemahiran Berpasukan
Bola jaring ialah permainan berpasukan. Sebagai pemain dalam pasukan kamu mestilah cuba bermain sebaik mungkin sepanjang masa. Semua kemahiran bermain bola jaring perlulah dipelajari dan dikuasai tanpa mengira kedudukan yang kamu mainkan.